Sunday 28 August 2011

12. KUNJUNGAN PENYAIR PENA









JOGJAKARTA 1973
ANGIN November masih membawa tiupan hangat. Hujan bagai tidak akan turun, dan Merapi kadang bebas daripada awan dan kelihatan puncaknya dari jauh, gagah perkasa. November juga musim cemasku, kerana harus menyiapkan kertas projek dan lukisan untuk persiapan ujian akhir. Bulan ini juga, PKPMI cabang Jogja telah mendapat berita dari Pusat Pelajar di Jakarta, tentang kunjungan penyair Persatuan Penulis Nasional (PENA). Hal ini disampaikan oleh Azran Abd Rahman ketika kami bertemu di Pusat Pelajar di Jalan Abu Bakar Ali. " Nah anda suka menulis puisi, inilah peluang baik berkenalan dan menyambut rombongan penulis". Aku segera melihat jadual harian.
Akhir November sudah tiba musim ujian. Aku harus menyiapkan 20 keping lukisan cat minyak, 100 keping sketsa hitam putih. Nyoman, asisten dosen sketa sudah kerap berwajah sinis. Beberapa keping sketsa sudah ditolak dengan nada jengkelnya, " Garisnya tidak lincah, tidak ekspresif..mana keberanianmu?" Persiapan ujian akhir dengan pameran solo di Aula, viva dengan diskripsi akan menyusul di minggu kedua bulan Disember. Perasaan sudah berbelah bagi memikirkan kewangan untuk membeli kain belacu, kayu bingkai dan cat minyak. Wang kiriman daripada Mak sudah berkurang, mujur masih ada sisa simpanan daripada upah membuat design pakaian kawan-kawan. Bagaimana untuk bersantai dengan acara baca puisi? Itulah rancangan kawan-kawan PKPMI di Rumah Pelajar yang mengatur acara minum petang bersambut dengan acara baca puisi. Beberapa orang kawan-kawan daripada jurusan sains juga sudah ketagih dengan acara baca puisi sejak AJK Kesenian mengatur program " Malam Bunga Rampai" menjelang malam HUT Ogos 1972.
Selain Azran Abd Rahman sebagai ketua AJK Penerangan yang sudah menulis puisi, muncul juga Idris (jurusan Sains Hayat), Timbroni (Kedoktoran) termasuk Mariati, Mohd Noh Dalimin (sekarang NC Universiti Tun Hussein Onn), sudah mendekati menulis dan membaca puisi masing-masing. Tambah Azran lagi, " Ini peluang kita, nanti lebih senang puisi kita tembus ke Dewan Sastera". Akhirnya tindakanku, ya baca puisi, kenapa tidak?
Azran juga sudah mengatur untuk mengenalkan Usman Awang dengan penyair Umbu Landung Paringgi, pemimpin Persada Group Jogja. Aku sendiri terlintas memikirkan untuk membawa mereka ke Sanggar WS Rendra. Sebagai AJK Kesenian memang aku kerap membawa rombongan yang meminati seni agar kunjungan mereka tidak hanya untuk berbelanja batik saja. Aroma Jogja, kota budaya, kadang dicemari oleh sistem dagang , dibawa berbelanja sahaja dan amat merugikan kalau pengunjung tidak mendekati budaya leluhur Jawa yang asli.Mungkin bangunan candi Prambanan, Borobudur sudah begitu popular di kalangan pengunjung, tetapi masih banyak khazanah budaya Jawa-Majapahit dan nuansa Islam patut dikunjungi. Bagi kawan seniman kerap juga kucadang mereka untuk meninjau Taman Hiburan Rakyat (THR), galeri dan muzium di kraton, Seni Sono. Tetapi untuk kunjungan penulis dan penyair ini, sempatkah mereka bertemu penyair dalam kunjungan sehari dua? Jadi pilihan mudah ialah membuat kunjungan ke sanggar WS Rendra di Ketanggungan. Sedang fikiranku masih menyeret bagaimana aku dapat membeli sepuluh meter kain belacu, perkakas kanvas lainnya dan cat. Bukankah biasanya kalau ada tamu dari Malaysia kerap membuah rezeki?
Kupecut motor Sport Honda Pickup meninggalkan kampus ASRI di Gampingan. Kutinggalkan kuliah minggu akhir (22 November 1973) hanya untuk bertemu penyair.
Menjelang bulan Disember, Jogja kerap ditiupi angin kering lansung dari arah Bukit Merapi. Aku mencelah ke PKU, menuju ke arah pejabat pos, sebelum melencong ke arah Bulaksumur kampus GAMA, membelok ke kanan menuju kali Codek langsung ke halaman rumah pelajar di Jalan Abu Bakar Ali.
Di halaman sudahpun menunggu sekumpulan kerabat PKPMI. di dalam pula sudah tersusun kerusi memenuhi ruang tamu. Aku yang terlewat tiba, mencelah ke dalam. Mereka sudah tiba dan acara sudah dimulai sehingga aku tidak dapat mendengar ucapan alau daripada dua belah pihak. Tiba-tiba namaku diseru, " Ayuh, wakil kami ialah Siti Zainon, dia penyair Jogja" . " Ha??" Agak aneh panggikan itu, aku baru mula belajar menulis puisi, jauhlah boleh disebut sebagai penyair! Dadaku bergemuruh bila mendengar suara 'Ayah' Ismail Gemuk' dari jurusan Syariah di Institut Agama Islam negeri. Beliau membahasakan dirinya sebagai 'ayah' kerana namanya sama dengan nama Abahku. Debaran itu makin memuncak dengan tepukan daripada tamu petang itu. Kuperhatikan Usman Awang, beliau tunduk sambil menghisap rokok kretek, seperti acuh saja melihat si gadis kurus ini terkial-kial mencari nota (kerana aku belum bersedia) sajak. Tiba-tiba terlihat wajah Jihaty Abadi, dan bukunya terbentang di depannya. Ideaku spontan dan bersuara, " Saya akan membaca puisi penyair Jihati Abadi". Sang penyair berasal dari Kedah tersentak, tetapi cepat menyedari lalu menghulur buku puisi itu. Pada hal aku belum pernah hafal atau membaca karya beliau. Sebaliknya sejak di sekolah tingkatan V-Vl kami haya disogok dengan puisi " Bunga Popi" oleh Usman Awang. Debaranku mula reda bila beliau kembali mendongak, tersenyum dan bersuara amat perlahan..." Siti sudah melihat penyair Malaysia membaca puisi acara Malam Cempaka Berbuang - sekarang silakan baca di Jogja ini, kami datang dari jauh ". Suaranya ramah, senyumannya manis ikhlas. Akupun terlontar di Malam Cempaka Berbunga ketika pulang bercuti tahun 1972 lalu. Ya aku berpeluang bersama pelukis Latif Mohidin . Mustafa Ibrahim, kerana acara sepontan melukis dan puisi cuba digabungkan serentak dalam acara di Taman Budaya Jalan Ampang. Daripada pertemuan itu diakrabi oleh penyair terkenal terutama Usman Awang, kami diheret makan di Benteng, termasuk penyair Kemala, A Ghafar Ibrahim. pelukis Latiff dan Ali Mabuha. Baru juga saya tahu gaya bersahabat seniman di mana saja sama, cepat mesra dan bersahabat, terutama kerana kami telah membaca karya-karya seni mereka.
Imbauan kenangan di tanah air dikejutkan dengan suara Usman Awan, " Adik-adik semua yang bakal menyumbang ilmu , anda juga beruntung kerana datang kesini, di kota Jogja yang kaya seni budaya...yang bakal mengisi persada seni tanah air". Dengan pertemuan itu saya mula menghayati puisi bila penyair Ahmad Razali, Kapten Muhamad Awang dan Yahya Ismail, bangun silih berganti membaca puisi. Hal yang terkesan ketika itu ialah puisi alat utama menyalir idea dan gejolak emosi peristiwa zaman. Tetapi selepas itu muncul Salleh Daud dengan pesannya, " Usman nak jumpa". Suara beliau ringkas dan saya makumi, " Esok Non bawa kami ke rumah Rendra ya".
Tetapi sebelum tiba esok hari, kami sudah sebeca menuju ke rumah Afandi di Jalan Solo. Memang ada sepasang mata aneh menyorot kami.
"Memang beruntung Non memilih Jogja untuk belajar seni. Tidak silap ayah menghantar Non ke sini, tentu ibumu juga gembirang kalau Non pulang berhasil membawa ijazah nanti. Ah , abang tidak berpeluang belajar tinggi, kami miskin dan iu pergi waktu abang masih kecil" Ungkapannya mengalir begitu sahaja ketika itu aku belum mampu mengeluarkan kata-kata sedangkan kenyataannya aku juga dihimpit derita di rantau. Hatiku juga bersuara, " Aku juga miskin, ayah juga tiada. Tinggal emak, hidup dengan wang mencuci pakaian dan memasak di rumah orang".
Di Galeri Afandi, beliau mengeluh lagi, " Sayang di tanah air belum ada rumah seniman dijadikan galeri seperti ini...nanti Non pulang bolehlah buat geleri mini, terbuka kepada rakyat marhen"
Esok siangnya kami sudah sampai di halaman sanggar W.S Rendra di Ketanggungan. Kebetulan tokoh penyair dan teater ini sedang melakukan latihan teater " Mastodon dan Burung Kondor". Latihan sanggar ini memang merakyat. Kerabat kampung bebas berkumpul melihat latihan yang dibuat terbuka di halaman, memang terbuka saling berselebahan dengan rumah penduduk lainnya. Rumah berdinding pelupuh buluh, kelarai dan lantai tanah latihan saling akrab - tiada batas antara ahli teater denga anak-anak yang menonton. Anah buah teaterW.S. Rendra juga terdiri daripada pelajar-pelajar dan mahasiswa di kampus persekitaran Jogja. Terdiri dari jurusan yang berbagai termasuk dari ASRI jurusan seni rupa, atau ASTI , seni tari, filem dan sebagaianya termasuk pelajar asing (dari Barat) yang sanggup bergabung dengan suasana santai dan bersahabat. Di anjung rumah keliahatan mbak Narti isteri pertama seniman ini sedang memilih buah belinjo dibantu oleh isteri kedua dan sahabat perempuan lain. Sesekali muncul Ken turut bergabung untuk megnukutai latihan. Ken akhirnya menjadi isteri Rendra hingga ke akhir hayatnya.
" Oh mana rumah teater kita? Abang rindukan suasana seperti ini, Taman Budaya kita belum menjadi juga". Saya mendengar keluhan itu bagai tertuju juga kepada ku. apakah akan dapat kulakukan kalau pukang ketanah air? Mampukah aku mempunyai sanggar sendiri?
Ketika itu juga terkintas wajah Ismail Zain , Pengarah Kebudyaan KKBS jugap pernah datang lebih awal dan mencariku di ASRI, dan menjelaskan, " Taman Budaya akan didirikan. Usman Awang salam seorang tenaga penggerak. Non cepat selesaikan kuliah , boleh bergabung untuk kegiatan seni di Taman Budaya".
Sebelum ini PKPMI telah juga menerima kunjungan Datok Ali Hji Ahmad, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, juga Menteri Kebajikan Tan Seri Fatimah. Mereka bertanya bingung dengan kuliah pilihanku Seni Rupa? Amat sukar untuk menjelaskan makna dan pendidikan seni ketika itu. Di tahun 1970an kerajaan hanya mengirim pelajar-pelajar jurusan sains saja. Bagi pelajar tajaan keraan memang hidup serba cukup. Sewa rumah siap pembantu untuk masakan dan cuci pakaian. Pergi kuiah lebih teratur dan pelajar lelaki sering mendapat perhatian perempuan tempatan. Aku beruntung juga selalu dapat menumpang makan bersama di rumah kost mereka. Jadi memilih jurusan seni, kehidupan masa depan masih kabur. Tetapi dengan suara Usman Awang dan Ismail Zain, aku tahu perlu sesuatu dilakukan, kerana itu aku tidak sabar untuk menyelesaikan kuliah dan pulang ke tanah air. Ujian harus lulus dan tidak mahu mengulangi ujian. Impian untuk meneruskan pengajian ke Belanda atau Eropah ditangguh dulu. Sedang Made Wianta sahabat sekuliah telah meninggalkan kampus ASRI untuk mula mengembara ke Eropah. Namun aku dengan semangat penuh, tahu tanah air menunggu! Itulah juga pesan Usman Awang, " Pulang dulu dan buktikan wanita Melayu boleh jadi seniman berilimu!"
Pesan atau bisikan yang terhimbau di telingan saling berlapis. Bagai terdengar pula suara Hussein Enas, " Siti harus gembling pelukis tanah air". Tambah Usman Awang pula, " Pulang dulu, bantu ibu, kemudian bangun kerja senimu".
Dengan penuh harapan, menjelang keberangkatan rombongan PENA terbang menuju Bali, aku telah menyerahkan manuskrip puisi Nyanyian Malam, lansung ke tangan Usman Awang. Ini manuskrip pertama dapat kususun menjelang usia 23 tahun.Seminggu kemudian kuterima poskad kiriman Usman Awang bercop setem Bali, mengkhabarkan,
" Non memang mempunyai daya seni yang tajam. Abang sudah baca
himpunan manuskrip Nyanyian Malam sepanjang penerbangan
ke Bali. Nanti akan diedit, sepanjang pulang ke Kuala Lumpur".
Tambah beliau dalam sekeping poskad lain, " Ada sisa rupiah, nanti akan dikirim dengan gambar-gambar oleh Hassan Majid".
Memang, sebulan kemudian, aku bukan saja menerima sisa wang rupiah tetapi juga sehelai US 100.00 dua bulan berurutan. Selepas itu aku tahu ada misi panjang penuh cabaran harus kulalu kan sebelum dan setiba ke tanah air kelak. InsyaAlllah.
***
(Gambar 1: Usman Awang ketika berucap di Rumah Peljam Malaysia Jogja, Nov 1973)
(Gambar 2: peserta rombongan PENA dari kiri > Yahya Ismail (juga belajar di UI Jakarta), Azran Abd Rahman , Ibrahim (Dr) dan penyair Jihaty Abadi.
Siti Zainon Ismail


Saturday 27 August 2011

11. KEGIATAN PKPMI 1970-1973

SEKEMBALI bercuti dan membuat pameran di Kuala Lumpur, aku harus segera melakukan sesuatu di Jogja. Urusan Abah sudah selesai. Dari wang Abah aku dapat membeli motor Honda pickup warna putih dengan tayarnya yang besar, kelihatan artistik sehingga teman-teman sekampus telah melihat kegiranganku, dan menduga memang kami sudah menikah di tanah air. Namun aku masih tidak tahu berita guncingan itu. Aku kembali mendaftar untuk tahun ke dua - dengan subjek yang semakin bertambah. Subjek Estetika Seni memang menjadi pilihanku bergabung dalam kursus Filsafat Seni Barat oleh Pak Kadir dan Filsafat Jawa masih berterusan, walau bukan subjek wajib. Jogja bulan April semakin panas. Ruang kuliah di AULA yang bergabung dengan beberapa jabatan lain, sudah menimbulkan aneka bau. Bau keringat dan aku mula terasa ingin muntah. Dengan kesedaran semakin kabur, aku bangun meminta izin keluar dari bilik kuliah dan tiba-tiba Juli sahabat se rumah turut bangun dan memimbingku ke bawah. Dia menahan beca dan kami tiba di rumah Ngampilan dengan suasana yang semakin kabur. Mata ku pedih, tekak ku kering. Juli memegang tanganku, menyentuh kening, " Oh, Zan panas sekali ini kau demam keras, biar kuhuungi Pak Abas ya ( Bapak Abas Alibasyah ialah Rektor ASRI). Aku tidak menjawab, rasa semakin sesak dan anggota makin melemah - lepas itu aku tidak tahu apa yang dilakukan Juli.

Aku sudah digotong ke Pusat Kesihatan Umum (PKU) Muhamadiah. entah siapa yang mengotong (kemudian ku ketahui, Pak Abas mengarahkan kenderaan ASRI untuk membawa ku ke PKU). Aku terpinga. Rasa pening mula reda. Rasa muntah juga sudah menghilang. Tetapi beberapa jururawat sibuk memeriksa segala anggota tubuhku...
Selama 15 hari di rawat di PKU. Siapakah yang datang menjengukku. Made Wianta, Wayan Sika, Jovita, Juli kerap kali berulang. Muncul juga kawan PKPMI Rahman Kuraish, Zul dan Hussin Pawiro. Semua bertanya " Kau sakit apa ya? " Aku mengangkat bahu. Tambah Made pula " Kau tahu haaa, kau sudah di black magic sama Sang Pangeran heee" . Aku tertanya ilmu hitam? Siapa Sang Pangeran ? Made berlalu tanpa sudi menjawab kebingungan. Wayan Sika membawa bekalan makanan dalam rantang, ayam goreng dan sayur lodeh. " Ini kubawa makanan dari ibu rumah kost mu.."

Setelah kembali segar tetapi masih tidak dibenar keluar aku mula berlegar di taman PKU. Memikir juga siapa yang akan membayar kos perubatang. Wang tabungan di BNI hanya RP 5,000. Kepada siapa aku harus meminjam? Sesekali terdengar suara radio mencelah dari ruang pesakit sebelah. Suara radio amatir tiba-tiba membawa pesan, " Rombongan mahasisa Universiti Malaya sekarang sudah tiba di Jogja disambut oleh HPMI" . HPMI? Kenapa bukan PKPMI? Sebelum ini aku sudah mendapat khabar dari sahabat lamaku yang menuntut di UM yang memberi khabar, PBMUM akan membuat lawatan ke Jogja...tetapi siapakah yang akan membawa Fahmi Ibrahim, Harun, Sani dapat mencariku...siapa yang dapat memberi khabar aku sedang di rawat di PKU. Tidak ada jawaban. Sehingga aku keluar seminggu kemudian ku terima susat tulisan tangan , yang memberi khabar amat menyedih. Dadaku sebak, rasa kilau memanah mata hari. Intinya yang membuat aku bertambah bingung. " Sampai hati Izan memilih lelaki Hindu itu. Kami kecewa, seharusnya Izan pulang membawa ijazah bukan suami". Aku tidak dapat meneruskan bacaan tulisan tangan itu. Surat kugumpal tetapi kukutip semula dan ku simpan dalam beg pakaian. Siapa yang menabur fitnah ini? Keluar dari PKU keputusan ku amat jitu. Hanya setahun lagi, aku harus menyelesai kuliah. Aku sudah mendaftar untuk menulis tesis, mengambil ujian dengan subjek melebih jumlah waktu. Beberapa sahabat sekelas merasa aneh, " Kok ingin cepat pulang ya...ah kami main-main saja, tiga tahun kek, empat tahun kek ya bisa aja enjoy di Jogja. Kok kamu ingin segera pulang ? " Mungkin itulah suara Nurma atau mungkin Ginting. Wajah Nyoman juga tidak muncul lagi. Sebaliknya sesekali muncul Ehjpi mengajak ku bermalam minggu dan kami dapat makan bersama di warong sate di depan Hotel Garuda. Terbetik juga rasa senangku bila Ehji datang dengan senyuman dan matanya berbinar kalau berbicara. Kadang-kadang dia menggenggam jemariku keras sekali. Tapi selepas itu Ehjpi menghilang begitu saja. Dia lelaki segak berasal dari Johor, tinggi perkasa yang digilai cewek se kampus di Universiti Gajah Mada. Ingin juga menyampai rasa yang mula bergelora. Tetapi siapakah yang bakal memulakan gejolak rasa itu, apakah dia juga kelu? Setelah dia menghilang aku juga tidak sedih, kerana di hati ku memang kosong, aku tidak perlu sesiapa demi masa depanku. Aku harus berdikari. Tanpa kasih sayang dan dicintai aku dapat mengharungi hidup yang penuh perjuangan. Ketika inilah detik puisi semakin bergelora hingga menjadikan aku bukan saja melukis tetapi juga menulis puisi.
Di manakah aku melarikan diri? Kadang ke Karangwui bertemu adik-adik putera puteri Mami Kartika. Kadang bermalam di rumah gerobak nenek Maryati, isteri Affandi di rumah Daunnya.
Tetapi selebihnya, aku mengisi kegiataan bersama ahli PKPMI. Aku adalah ketua AJK
Kesenian. Peluang ini kutampilkan dengan latihan tarian, membuat skrip persembahan meraikan HUT Malasyia. Juga menjadi penyiar suara PKPMI di RI Jogja . Menariknya kawan-kawan semua menyokong.
Sahabat baikku Zulkifli dan Hussien Wahab sungguh menyenangkan. Kamilah sahabat tiga serangkai merencana persembahan. yang paling terkesan iaitu Pentomin Puteri Gunung Ledang. Aku menyediakan skrip berlandaskan teks Sejarah Melayu. Zul menyediakan rakaman suara dan Hussin turut membantu membuat setting dan prop pentas. Pelakon? Haaa, Mohd Noh sudi menjadi Sultan Mahmud, Maryati menjadi Nenek Kebayan, masih ramai yang terlibat, sebagai dayang. Ku lakar reka busana yang harus dipakai. Masing-masing dapat menyediakannya . Siapakah yang mengurus kewangan aku pun tidak tahu. Tetapi syaratnya , pasti memakai kain songket merah. Sungguhlah persembahan itu menjadi juga dan mendapat tepuk sorak kawan-kawan yang tidak berani naik pentas. (Sekarang kalau kawan-kawan sudi berkongsi cerita ini, tolong tambah catatan memasukkan nama anda dan gerak lakon yang telah ada lakukan dalam PGL kita )
Selain dari persembahan pentomin, kami juga membuat persembahan boria. Sesekali kami membaca puisi seperti acara Malam Bunga Rampai. Antara turut terlibat membaca puisi ialah Mohd Noh Damilin (sekarang NC Universiti Tun Hussin Onn), Zainee Ghazali ,tentu saja tugas ini disokong penuh oleh Azran Abd Rahman sebagai AJK Perhubungan dan Komuikasi. Di hari Mauludur Rasul, kuajak Husin Pawiro dan Mansur Seman untuk turut membaca puisi Sirah Nabi. Menjadi juga, kerana di kalangan ahli PKPMI nampaknya akulah yang mengikuti kursus seni. Malam makin berbintang, bercahaya bulan. Kadang awan menutup cahaya di langit. Tetapi mentari kembali bersinar di pagi hari. Aku harus melangkah harus menyonsong arus, ya ibunda anakmu harus pulang dengan ijazah seni walau belum tahu nilainya di tanah air. Subhanallah..



(Gambar 1:Penyampaiah hadiah olahraga)


(Gambar 2: PKPMI menerima kunjungan Fatimah Sham aktivis sosial dari USM)
(Gambar 3: Persembahan Pentomim Puteri Gunung Ledang)


(gamabr 4: Kumpulan Boria PKPMI)

***
29 Ogos2011








Thursday 25 August 2011

10. PUISI DAN LUKISAN TARIAN






















LATIHAN tarian di Sanggar Tari Bagong Koesdihardjo, telah membawa garis lakaranku makin dinamis. Definisi seni tari umum makin dikemaskan dengan latihan di sanggar beliau. Di sini mula meniru gerak langkah kaki dan jemari. Teapi aku tahu tidak mampu membawa gerak lelakon puteri jawa, luwes, lentok kemayu, sabar menyentik jari dan menggerak kaki sambil melibas batik wiron yang ketat itu. Amat perlahan teratur dengan ketokan saron dan gender gamelan Jawa yang terkenal luwes berbanding gamelan Bali dan Sunda.

Masuk minggu ketiga setelah menghafal gerak geleng kepala dan lirik mata, maka Pak Bagong tahu aku tidak berbakat untuk melanjutkan latihan sehingga ke acara persembahan Roro Kidul. Alkhirnya beliau mencadangku agar melukis saja semua gerak tari. Inilah peluangku untuk menampilkan ciri gerak tarian Jawa ke kanvas sebagai persiapan ke tahun tiga.

Atien Wahyuningsih akhirnya terpilih untuk melakonkan watak utama, Ratu Roro Kidul. Secara fahaman klasik dan mistik Ratu Roro Kidul begitu cantik digilai lelaki. Terakhir konon berhasil ditakluki putera raja Kratom Hamangkubuwono. Tetapi dengan memilih Atien sebagai pelakon tari utama , Kraton Jawa mula geger. Bayangkan bila pemilihan itu jatuh ke gadis bertubuh besar, tinggi, kelihatan bagai seorang olahrawati berbanding seorang penari. Kami tertanya juga kenapa Pak Bagong tidak memilih Siti Adiyati - Ateik yang lebih lansing, luwes dan memang dari kerabat kraton Jogja sendiri. Tetapi kerana tugasku melakar dan melukis gerak tari maka ku tumpukan tugas itu dengan senang hati melakar dan melukis. Gaya kelincahan gerak tari ini akhirnya membiak sebagai ciri klasikku hingga kini. Apalagi ruang tari sudah dipenuhi pukulan gamelan (latihan hanya kaset), sehingga lukisan ku makin dinamis dan lincah.

Tetapi dengan Made Wianta, cerita jadi lain pula. Made anak seorang pendeta dri Apuan Bali ,tetapi bercita untuk menjadi pelukis moden dengan mendobrak gaya tradisi Bali. Dialah calon pelukis yang kini memang sudah terkenal sebagai pelukis dunia ini mengheretku ke Sanggar Sarawasti di Kolombo, Kota Baru. Dengan bangga dia bersuara, " Ngapain menari dengan gerak gaya bebek lenggang tu, ayuh dengan pendetlah haa..kau pelukis dinamis lagi lincahkan sketsamu ....lihat aku menggamel..hee ada sesuatu cerita baru buat kau haa" . Sejak itulah masuk semester kedua, aku sudah dihias dengan busana tarian Bali, dengan kain gersinsing, rambut terhurai ke bawah bahu dan di atas bersanggul hiasan bunga kemboja. Dan bebebrapa kal sudah menjadi model lukisan potret hobi asisten dosen sketsa. Sahabat Jawa mengerling , Pak Fajar Sidik geleng kepala..." Edan anak ni sudah memBali, piye tho? " Akhirnya berita ini tersebar di seluruh kampus dan beralih ke dunia pelukis lain walau jauh letaknya dari Jogja. Pada hal aku hanya untuk menambah pengalaman, bagaimana ramai pelukis saling gembira mendapat model untuk dilukis, dan aku akan tercatat, wajahku dilukis dalam busana puteri Bali, dilukis oleh pelukis terkenal termasuk pelukis potret Sudarso, dosen kelas potret kami di ASRI.


Lukisan Nyoman yang sarat gaya ekpresionisme pula sudah digemari orang asing yang kerap datang ke sanggarnya di Jalan Prambanan. Sehingga dari sana dia juga diundang berpameran di Keduataan Amerika, Jerman dan Peranchis di Jakarta . Dia kerap melukis hingga ke Jakarta, Surabaya dan Bali. Kami pernah bergabung melukis di rumah beberapa orang biasanya kerabat kedutaaan asing di Jakarta. Aku kurang jelas dengan siasat pelukis ini. Yang jelas katanya " Selagi kita muda, kita harus ngebut melukis, tahu selera pembeli, dari sana dengan wang kita akan mudah untuk masuk ke dunia antara bangsa - untuk membina masa depan , aku akan menjadi pelukis terkenal " . Sungguh impiannya kini pelukis ini memang sudah tersohor dengan galeri mewahnya di Klungkung Bali.
Bila kami bersama melukis di Jakarta, stesen kami ialah di Galeri Seni di Jalan Gereja Theresia. di situ sudah ada pelukis lain yang berkumpul terutama pelukis Nasyah. Bila aku tiba dengan baik hati Pak Nasyar akan memberi meja tidurnya untuk kutempati. Pagi-pagi kami akan membeli sarapan - nasi pecal gerobak yang singgah di depan galeri. Kerap juga aku makan berkongsi dengan Pak Nasyar yang pendapatan lukisannya tidak bisa mnenampung kehiduapan hariannya. Atau kalau jatuh malam Minggu aku lebih senang memilih rumah singgahan pelajar Malaysia di Jalan Budi Kemuliaan. Di sinilah aku berkenalan dengan teman-teman pelajar Akademi Ilmu Pelayaran (AIP). Aku mula berbaik dengan Nizam, Mazlan dan Nik. Bersama bercanda selebihnya berdongeng dengan impian masing-masing. Mazlan kebetulan kukenali ibunya yang juga berasal dari Gombak. Jadi aku merasa selamat bermalam di situ. Cerita kami, kadang ke selatan, ke utara. Gembira anak muda. Rata-ratanya mereka sudah mempunyai pacar dan malam adalah detik menikmati kebebasan malam minggu. Aku terpaksa menunggu hingga dinihari baru mereka muncul dan kami berkongsi cerita lagi. Sehinggu aku hafal nama pacar masing-masing.


Tetapi ada perit lebih dasyat terdengar " Apa benar kau sudah pacaran dengan Pak Nyoman?". Atein bertanya. Aku tersedak dan mula menyelidik siapa di belakang tabir menemukan aku dengan kegiatan di Sanggar Saraswati, menemukan acara pelukis dan penari di situ. Cuma selepas itu satu, satu sahabat senior di ruang Ex-Reuni mula senyap. Tidak ada lagi gesaan agar kami menyediakan tulisan, sketsa dan puisi utuk jurnal Zavita. Jovita juga sudah pindah indekost sehingga aku harus juga cepat mencari bilik yang lebih kecil untuk menjimat perbelajaan bulanan.


Nyoman pula semakin gesit melukis. Kadang kami kehilangan beliau di ruang studio. Pekerjaan tesisnya sarjana (Drs) juga terbengkalai. Lukisannya tetap belum diterima oleh penilai dan ahli senat dan beliau terasa diperlecehkan hanya kerana karyanya mirip lukisan Affandi. Mungkin kegagalan mempertahan karyanya, beliau menumbuh idea lain seperti ucapnya " Aku harus cipta nama, aku akan ikut Jean pulang ke Kuala Lumpur" . Hingga hujung semester dia datang dengan tiket di tangan. " Aku sudah ada karcis pulang pergi, bawa aku pulang, aku ingin meninjau ruang pameran dan berpameran di sana ".


Aku tidak tahu apa lagi atas gesaan ini, tetapi niatnya untuk berpameran amat aku sanjungi. Tetapi pulang bercuti dengan membawa teman lelaki, masyaAllah. Pasti halilintar emak akan menerkam . Apa perasaan nenek dan emak? Entah apa pula alasan Nyoman dan bisiknya kepada teman-teman di Sanggar Saraswati , " Aku akan bertemu ibu Jean, akan melamarnya". Memang beliau kerap saja menyebut namaku dengan panggilan Jeane mengingati mantan pacarnya perempuan Itali. Ayat melamar ini baru kutemui bila berjumpa kembali Made di Bali 20 tahun kemudian di Taman Ismail Marzuki. Berita ini juga tersebar ke telinga sahabat PKPMI terutama HPMI. Masing-masing mula berjarak dengan memandang aneh dan sinis kepadaku . Ya Allah mana mungkin aku menerima lelaki itu sebagai suamiku. Dia dengan pengangan agama Hindu dengan mendalam ? Lihat saja d itelinganya selalu terjepit kembang merah atau kuning. Bunga itu biasnya memang telah di sajen di luar pintu. Hanya Allah yang tahu gelisah dan kebingunganku. Tetapi demi perjuangan sahabat pelukis, aku dengan tersenyum melangkah pulang dan Nyoman dengan penuh semangat, telah kukenalkan dengan beberapa orang pelukis antaranya Lili. Dari sana beliau berhasil mengadakan pameran sketsa di Galeri Samad . Kubawa dia ke DBP dan berkenalan dengan Usman Awang dan Latif Mohidin. Kemudian dengan Lili, beliau terus dibawa ke rumah teman pelukis lain yang tidak kuketahui siapa. Dengan ibu, telah ku beri tahu, Nyoman bukan pilihanku untuk di jadikan suami. Aku tetap dengan pengangan utamaku, Cinta tanpa pegangan agama yang sama hanya akan memudarat kasihku KepadaNya. Allahuakbar , bimbing daku Ya Ilahi!
***

(Gambar 1: Ikut serta pameran bersama Nyoman)

(Gambar 2: Berbusana puteri Bali, sempena Hari Kartini 1970)


28 Ogos 2011

Sunday 21 August 2011

9. PAMERAN PUNCAK KERJA PELUKIS


KERJA pelukis memang terus melukis. Kami harus memikirkan apa yang akan disampaikan lewat deria kepekaan seni yang sudah mengalir di jiwa. Kuliah Sejarah Seni turut memerikan gaya hidup seniman dunia. Pendekatan psikologi seni pula telah mengajar kami betapa peritnya untuk mencapai puncak. Pelukis Vincent van Gogh (1853-90) menderita kerana karya impresionisnya masih belum dapat dihayati massa. Bagai terdengar suaranya, " I use colour more arbitrarily so as to express myself more forcibly" (ungkapan ini kembali kutemui ketika berpeluang mengunjungi Muzium van Gogh di Amsterdam, 1986) . Jackson Pollock (1912-56) harus bersembunyi di stor lukisannya, menjadi agresif memercikan warna lansung dari tiub atau tin catnya sebelum muncul kolektor yang dapat mengkagumi karya abstrak ekspresionisme. Affandi sudah bertahun begitu teliti dengan melukis gaya realisme sebelum menemui gaya ekspresionisme justeru ketika beliau berada di London tahun 1950an. Puncak kerja itu semua melalui pameran bersama atau pameran solo di arena seni lukis. Inilah impian kami juga calon pelukis dari studio ASRI. Tidak semua berhasil memenuhi cita rasa dosen. Tetapi kami harus bangun berani menampilkan karya untuk pameran. Kerana semester akhir sebelum memasuki ruang viva untuk mempertahankan tesis, sebanyak 30 karya juga harus dipamerkan di ruang Aula.


Pada peringkat awal kami tidak akan melepaskan acara pameran bersama yang diatur oleh pihak ASRI sesuai dnegan acara tahunan seperti pameran sempena Hari Kartini, Hari Kemerdekaan. Begitu juga setiap anak negeri akan mengatur pameran berkelompok untuk mendekati masyarakat umum. Ini merupakan peluang bagiku untuk terlibat seperti pameran bersama di Sala Tiga dan Madiun. Selepas ujian semester 1972, aku berusaha pulang untuk menguruskan surat-surat rasmi meninggalnya Abah. Aku mendapat surat berdaftar dari Ketua Pengarah Bengkel Keretapi Tanah Melayu di Sentul. Surat mendadak itu sungguh mengejutkan, " Cik Zainon diminta pulang untuk membuktikan kamu anak kepada Ismail bin Talib" . Surat yang sungguh mengejutkan. Aku bukan anak Abah ke?

Sungguhlah wang punca rezeki. Wang juga punca pertelagahan keluarga. Entah angkara siapa wang grantduty Abah menjadi rebutan. Adik-adik Abah turut menuntut wang tersebut hingga tergamak mengatakan Abahku, Ismail tidak meninggalkan waris. Surat tuntutan tiba di mahkamah tuntutan harta di Kuala Lumpur dan satu surat salinan tiba ke pejabat Abah. Kebetulan Ketua Pengarah Jabatan Bengkel KTM Sentul masih teringat, beliau bernah mengeluarkan surat sah sijil kelahiranku ketika akan berangkat ke Jogja. Beliau sendiri memberi cop rasmi pengesahan, dan masih ingat, pekerjanya mempunyai seorang anak yang sedang belajar di Indonesia. Aku pulang dengan surat dari mahkamah dan kami bertemu di ruang keramat itu. Kulihat wajah dua orang bapa saudaraku.Sungguh tega mereka mengaku abangnya tidak ada waris. Mahkamah bersidang untuk aku mengangkat sumpah, mengaku aku adalah puteri tunggal Ismail bin Talib.

Mataku berkunang-kunang melihat gelagat manusia yang ghairah terhadap wang pusaka. Tetapi aku simpati juga kepada mereka yang pasti terdesak dan berhak mendapat wang abang mereka. Dengan rela aku segera memberi dengan suka rela...mengambil hanya 50 % wang tinggalan Abah. Biarlah 50% itu diserahkan kepada keluarga di kampung, kerana selama ini memang mereka menguruskan kebun pusaka nenekku. Aku melangkah pulang tanpa peduli wajah mereka yang terpinga-pinga kerana aku tidak menuntut balik kelakuan mereka yang sanggup menidakkan aku waris tunggal abang mereka. Aku pelukis dengan kerja mewarna kanvas. Mereka adalah pengguris, mengguris hatiku luka. Biarlah.

Tugas pelukis tiba-tiba datang dengan mengejut. Angkatan Pelukis Malaysia mengundang aku membuat pameran tunggal di British Council. Sekali ini duniaku semakin berwarna. Selama sebulan bercuti kugunakan untuk melukis dengan gembira . Hussein Enas, Syed Ahmad Jamal, telah datang melihat karyaku di pondok kecil kami di Batu 5 Jalan Gombak, gembira dengan lukisanku yang bergaya Ekspresionis warna meledak panas hasil karya seorang anak muda berusia 22 tahun. Tanpa sokongan APS, mungkin aku tidak akan menjadi seperti hari ini . Pameran ini dirasmikan oleh Senator Kamarul Ariffin. Maka sibuklah kawan-kawan persekolahan yang masih kuliah di UM, di ITM berdatangan dan mula percaya bahawa pelukis ada harapan di masa depan. Insyaallah.

21 Ramadhan 1432/21 Ogos 2011
*****
(gambar 1: Pameran dirasmikan oleh Senator Kamarul Ariffin , sekarang Tan Sri, 1972)
(gambar 2 : Pameran bersama di Madiun, 1971)
(gambar 3: Pameran bersama di Senisono, 1970)


























































Saturday 20 August 2011

8.DARI SEJARAH KE ESTETIKA SENI

1.


KULIAH tahun dua, makin terasa cabarannya. Dosen Sejarah Seni Lukis Moden disampaikan oleh Pak Sudarso MA. Dosen lulusan luar negara ini memang segak dengan sedikit senyuman sinis. Kami selalu menghindari jelingan matanya degan senyuman setiap kali beliau mengemukakan soalan kepada mahasiswanya. Ini kuliah wajib untuk semua jurusan. Bererti kuliah diadakan di Aula (Dewan Utama) yang turut diikuti juga mahasiswa tahun akhir terutama yang sedang membuat tesis ijazah sarjana untuk mendapat gelar Doktorandus (Drs, lelaki / Dra, perempuan). Buku teori dan sejarah seni lukis utama yang menjadi rujukan ialah hasilt tulisan Sir Herbert Read . Beliau adalah tokoh yang kukagumi kerana selain pengkaji seni lukis dan pengkritik seni, beliau juga adalah penyair sekali gus pengkaji sastera Inggeris. Buku utamanya The Meaning of Arts (1931) dan Art Now (1933). Tetapi seksanya buku rujukan amat terbatas. Perpustakaan hanya mempunyai dua buah untuk satu judul. Bererti siapa cepat ke perpustakaan dialah yang akan menyambar buku tersebut. Barangkaki ini kelebihan ku kerana, kerap cepat mendapatkan buku tersebut. Ini kerana senarai buku rujukan sudah dicatat dalam data kuliah stensilan yang dijual oleh para dosen. Yang payahnya ialah untuk melihat ilustrasi lukisan yang tidak dapat diperbesarkan seperti tayangan slide. Teknik ini belum digunakan di kampus kami. Namun unik atau anehnya penjelasan dosen sejarah cukup menarik. Mereka begitu setia bercerita tentang karya sama ada dari sudut aliran, subjek lukis, termasuk susunan warna dan garis.



2.


Kuliah Sejarah Seni Lukis Moden tidak dapat mengalah subjek Estetika Seni bimbingan Pak Kadir MA dan subjek Seni Bina Tradisional Agung Dunia. Dalam kuliah Seni Bina, Pak Gun

menekankan keagungan tamadun bangsa Indonesia tidak dapoat dipisahkan dengan penjelmaan seni arca, seni bina, dan kesenian tekstil terutama ukiran dan batik. Di sinilah kami digalakkan membuat kerja bandingan dari sudut sejarah berlandaskan estetika seni , sebagai unsur penting melihat pemikiran pengkarya seni itu sendiri. Mungkin subjek seni tradisional ini merangsangku, , untuk membukti masyaraakt Melayu Nusantara sudah lama bertamadun sebelum kuasa Eropah datang menjajah ke tanah nenek moyang Nusantara.


Mengikuti kuliah ini bererti kami wajib menyediakan kertas projek, sebagai memenuhi syarat lengkap untuk markah utama. Menyediakan kertas projek inilah yang paling kugemari. Setiap kertas yang telah disemak dosen dan dikembalikan akan ku sunting sesuai sebagai rencana dan segera ku hantar ke penerbitan Dewan Sastera. Inilah salah satu cara untuk aku mendapatkan wang perbelanjaan selama kuliah di ASRI.
***
(gambar 1: Esei pertama ku terbit di majalah Dewan Sastera, 1973)

(gambar 2: Illustrasi, sketsa Kala Mukara, menghias pintu agung di candi Prembanan)
***


21 Ogos 2011/21 Ramadhan 2011.

Friday 19 August 2011

7. WALAU TANPA BIASISWA



1.

MEMASUKI dunia pendidikan di rantau, aku sudah diberitahu sejak masih di Kuala Lunmpur. Pesan emak, " Cepat cari keluarga dan sahabat dari tanah air sendiri ". Keluarga? Kebanyakan keluarga kami berada di Ranah Minang, Di Tanah Jawa? Hingga hendak berangkat, sekali lagi emak berpesan, " Kita tidak ada keturunan Jawa..tapi ada teman ayah Wan Chik, dia tokoh politik berjuangan menjelang kemerdekaaan. Tapi dianggap orang kiri. Sekarang terkenal di Jakarta, membuka perniagaan bank. Carilah dia" . Di mana kan kucari kerana tanpa alamat cuma namaya disebut sebagai Bapak Iskandar. Tetapi kerana sudah tiba di Jogja kulupakan saja nama tokoh itu. Apa lagi aku sudah ada tempat berteduh dan berlindung di Sanggar Seni milik Kartika dan Saptohoedoyo, juga rumah daun Affandi. Sehingga teman sekampus sering mengejek, " Enak jadi anak Malaysia bisa lansung di terima di rumah pelukis tersohor, wah, asyeeek ya".


Tetapi tidak semestinya aku menempel selamanya di situ menumpang kekayaan orang lain.Aku harus berusaha untuk bisa berdiri sendiri. Menyedari aku bukan pelajar yang dihantar oleh pemerintah dan tanpa biasiswa, aku harus bijak menata diri. Kedatanganku ke Jogja adalah dengan wang hasil pameran solongku (Februari 1969) yang diusahakan oleh guruku Nas Achnaz di Shah Motel dan sebanyak 30 karyaku lukisan batik, pastel dan sketsa hitam putih telah diborong semua oleh Datuk Shah, dengan bayaran sebanyak RM 2,000. Aku hanya membawa RM 1,000 dan sisanya kutinggalkan untuk emak yang kukira wajar kuberikan kerana emaklah satu-satu yag mengetahui keinginanku. Wang yang ditinggalkan boleh dijadikan modal kerja sulaman dan hasilnya pasti emak dapat menambah wang kiriman bulanan kepada ku kelak. Cikgu Idris Salam juga menambah tabunganku setiap bulan hasil jualan lukisanku yang dipamer jual di Galeri IBHAS Pasar Minggu. Ya sejak ayah Dei Wan Chik jatuh perniagaannya sumber kehidupan kami tidak menentu. Kedai bukunya di Jalan Tunku Abdul Rahman di depan panggung Odean pula tidak mampu menjadi keluarga kami kaya. Tetapi beliau tetap bertahan dengan menerbitkan buku Sirah Nabi. Hasilnya tetap berbalai dan inilah janji wang saku bulananku di Jogja.


Tanpa menduga kesukaran hidup di rantau, aku berani melangkah dengan gaya seorang pelajar, harus berani dan cekal, mampu ketawa dan lincah. Pesan Abah pula , " Rezeki pemberian Allah. Insyaallah Abah akan kirim RM 100 sebulan". Itulah janji dan nekadku, pergi belajar tanpa wang biasiswa. Lamaran permohonan MARA belum ada jawaban.

2.


Menjalin persahabatan dengan pelajar Malaysia harus cepat kulakukan. Daripada Hamadah Ghazali dan Kamaruddin di Salemba Jakarta, kudapatkan senarai nama aktivis pelajar dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI). Dari situlah kutemui pelajar Malaysia yang kebanyakannya belajar tanpa biasiswa rasmi dari kerajaan. Nama seperti Murad Mat Jan, Ramli Isin, Abdul Rahman Kaeh, Ismail Mad, adalah sahabat dan ' abang' yang begitu baik menerima kedatanganku. Mereka adalah mahasiswa di Universitas Gadjah Mada. Masih ada kelompok anak-anak Kelantan yang begitu prihatin menerima kunjunganku ke rumah kongsi mereka. Umumnya mereka ini mengikuti kuliah di Institut Islam Negeri. Kumpulan Pelajar ini mendapat biasiswa daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah tetapi masih bergabung dengan PKPMI antaranya ialah Azran Abdul Rahman dan Rokiah yang kerap menerima kunjunganku untuk makan malah bermalam di rumah mereka. Dalam kumpulan ini aku kembali menemui sahabat sekolah rendahku Salmiah yang mengikuti kuliah Syariah.


Malah lebih terbuka aku juga mencari sahabat dan menjalin rasa kekeluargaan dengan pelajar Himpunan Pelajar Malaysia di Indonesia (HPMI). Kumpulan ini agak mengasing diri dengan PKPMI dan aku cuba berdiri antara dua kumpulan ini, dan mereka juga dapat menerimaku ku dengan baik. Memang ada kawan PKPMI merasa aneh, bagaimana " Awak yang berpakaian gaun, skirt boleh diterima di HPMI?"


3.

Hidup kita semua ditentukan oleh Takdir Allah swt. Hanya setahun wang kiriman lancar dari tanah air. RM 100.00 dari Abah. Tetapi genap setahun ayah Dei Wan Chik pergi meninggalkan kami yang masih teraba menentukan pacuan hidup. Kiriman wang dari Mak makin mengurang, hanya RM 50.00 sebulan. Cuma aku tertanya juga kenapa petaka takdir ini harus kulalui begitu cepat, kerana sepuluh bulan kemudian menyusul pemergian nenekku yang menjagaku sejak kecil. Abah pula menyusul sepuluh bulan kemudian di tahun kedua. Hanya doa mengeiringi mereka agar di terima Allah swt dengan penuh keberkahabn Ilahi. Bagaimanakah kehidupanku buat masa depan di rantau? Harus pulang ! Itu usul keluarga tetapi Mak turut bertahan, sanggup menyaraku. Walapun pemergian Abah dirahsiakan, kerana peristiwa terjadi ketika aku sedang menghadapi ujian semester kedua , kuterima berita pemergian mereka dengan redha, dan aku harus bersedia menghadapninya. Untuk pulang tanpa menyelesaikan kuliah tidak sekali. Semua peristiwa ini tidak kuratapi. Inilah takdir Ilahi dan aku tidak akan merayu, bersedih sebaliknya dengan nekad aku sudah berencana untuk mencari wang saku. Antaranya aku kerap membuat lakaran- sketsa, melukis di emper toko Jalan Malioboro. Kadang memanjat Prambanan dan Borobudur, melukis dan menjual karya itu kepada pelancong asing. Tidak ada kawan-kawan ku baik teman sekampus mahupun pelajar PKPMI tahu rahsia kerja seni ku ini. Aku masih ketawa. Sesekali singgah di rumah kost mahasiswa Malaysia yang mendapat biasiswa, tumpang makan di sana ! Atau kalau aku bermalam di rumah Azran dan Rokiah, mereka dengan gembira mempelawa aku makan di situ tanpa mereka ketahui aku memang tidak mempunyai wang ketika itu.

Mungkin Rumah Pelajar di Kota Baru yang ditempati Onn , Hussin, kerap menerima kunjungan ku dan mendapat jajan percuma. Kadang ada yang mengundangku makan malam Minggu. Dan mereka tidak pernah tahu, aku tidak cukup wang untuk berbelanja besar. Mungkin penampilanku yang sering ' bergaya ' - pada hal semua pakaian yang kupakai adalah adalah hasil jualan rekaan design yang kubuat untuk teman-teman sekampus , dan aku mendapat upah dengan bentuk kain dan aku menjahitnya bersama Mbak Ana. Atau aku memotong dan menyembatnya dengan rapi, haaa baju jahit rembat tangan, tidak ada yang perasan. Yang penting aku selalu memakai baju baru yang potonganya memang aneh di mata mahasiswa Malaysia lain. Mungkin inilah kelebihan pelajar seni, kerana mampu mereka cipta pakaian dan barang seni yang boleh menjadikan sandaran hidup, berkarya dan menjualnya kepada teman-teman sekampus.

Kadang rezeki bertambah, kalau ada rombongan rasmi dari tanah air. Aku kerap menawar diri untuk menjadi pemandu perjalanan mereka ke Prambanan atau ke Borobudur. Rombongan PENA juga memberiku percerahan puisi dan kehidupan masa depan. Aku sebeca menghantar Usman Awang ke rumah Affandi dan ke Sanggar Rendra di Ketemanggungan. Pesan Usman Awang, " Teruskan perjuanganmu, tanah air menunggu kepulangan seniman wanita yang dinamis ". Usman Awag turut sedih kerana aku tidak mendapat biasiswa (Permohonan pinjaman MARA memang ditolak), sehingga beliau dengan penuh bertanggung jawab menitip US 100.00 sekembalinya ke tanah air.

" Jangan merayu dan minta wang percuma kepada orang kalau kita kesusahan. Kita ada tenaga dan ada fikiran. Buat yang terbaik untuk hidup ". Itulah pesan Mak yang tetap ku ingat. Selepas itulah tulisanku tentang seni budaya Jawa telah terbit di Dewan Sastera termasuk, puisi dan sketsa. Inilah antara wang sumber kehidupanku di Jogja. Kemala sebagai editor dengan setia mengirim wang puisi dan sketsa (RM 20 + 20) dan esei (RM 100) tiba juga dalam bulan-bulan tertentu, lewat kiriman wang yang dapat kutunaikan di Bank Indonesia hampir dua bulan sekali. Sesekali rombongan Menteri datang, atau wakil kerajaan mengunjungi PKPMI.Ini adalah peluang punca rezeki. Setiausha peribadi YB Hussin Onn datang ke rumah kost ku di Ngampilan dan memilih lukisan potret ku dan menyisip wang RM 100. Sokongan moral yang lebih memberiku semangat untuk bekerja melahirkan karya seni. Beberapa tokoh pendidikan seperti Datuk Rahman Arshad juga memberi semangat kasihkan ilmu dan seni. Hidup perlukan perjuangan. Siapakah yang berkata begitu? Tetap pesan Abah kugenggam, walau beliau tidak sempat melihat kejayaanku menggenggam Ijazah Sarjana Seni dari ASRI. Al Fateha ya Abah, ayah Dei Wan Chik dan nenek yang tidak melihat kejayaanku. Syukur Emak sempat menikmati hasil jerih perih puterinya dengan sokongan beliau juga. .Allahuakbar.


(Gambar 1: bersama pelaja tanpa Biasiswa)

(Gambar 2: Kami berkelah ke Gembiraloka, zoo Jogja)

***

20 Ogos 2011/20 Ramadhabn 1432





6. ZAVITA GRUP


MALAM MINGGU , baru kukenali erti WAKUNCAR - waktu kunjung pacar atau apel malam minggu. Ibu kos sendiri bertanya,
" Eeh, kamu kok nggak wakuncar? "
"Ha?"
" Ya lah pasti pacar akan datang tho, malam minggu, biasalah anak kos sibuk keluar dengan pacar ".
Aku sebilik dengan Jovita (bunyi Yovita) puteri keturunan Tiongha dari Palembang. Berbanding dengan teman-teman perempuan lain, hanya kami yang masuk ASRI setelah menamat sekolah menengah. Tapi teman-teman lain, sudah pernah keluar dan drop out dari kampus yang pernah keluar dan drop out dari kampus yang berbagai. Mbak Wati pernah kuliah ekonomi di Solo. Nurma Tarigan konon keluar dai kampus di Medan. Juli dan Indrawati tidak jelas, apakah pernah kuliah atau belum. Yang jelas ASRI seakan menjadi kampus pelarian mahasiswi dari daerah masing-masing atau lari meninggalkan masa 'sejarah doeloe' mereka. Itu canda Nurma, bila ku tanya, " Eeh dulu sudah kuliah di mana ya? " Jawabnya , " Ah ogah aku, pokoknya by, by, danau Toba"
Riuhlah anjung depan rumah kost kami di Kuncen 4. Setelah magrib rumah kami sudah sunyi kerana 6 orang penghuninya sudah terbang dengan pacar masing-masing. Kadang tidak jelas siapa pula pacar mereka. Kerana mereka saling akrab bercanda.Rata-rata yang datang ialah mahasiswa senior. Ada Wardoyo, Andrein, Yan, Giono. Mbak Wati agak lewat keluar kerana dia harus sabar menunggu 'Oom' yang datang lewat di waktu terlarang. Aku dan Jovita memang bagai dara pingitan yang saling diintai dari jauh malah dari jarak dekat. Giono sudah berulang kali mengetuk jendela (kerana bilik kami paling depan), kadang hingga jauh malam, sehingga Jovita kerap bergulung-gulung dalam selimut, " Izan tolong, aku ngak mahu apel malam minggu dengan dia..." Kami mendiamkan diri dalam kegelapan, mematikan bola lampu tanda kami tidak ada dalam bilik. Kebetulan di depan rumah kost kami memang ada warong makan Bu Brojo. Di situ tumpuan bujangan untuk jajan atau memang membayar makan di situ. Ketukan jendela berbunyi lagi, getus suara Jovita " Ehh tadikan skuter juga pergi kok ngetok lagi " .
Tiba-tiba terdengar suara, " Izan..hei Nyoman lagi mahu bicara sama kamu, dia di warong Bu Brojo, datang ya " . Kami malah makin ketakutan, bila mendengar nama Nyoman. Nyoman Gunarsa ialah asisten sketsa yang galaknya bukan main, bila menilai sketsa kami. Dia seenaknya berdecap decip melihat sketsa kami yang tidak lincah, garis ragu-ragu tanda tidak berani . Setengah jam , ketukan di jendela kedengaran lagi, Kami tetap mendiam diri, belum waktunya untuk Wakuncar.
Cerita ketukan jendela berloncatan ke kantor ex-Reuni tempat kami mengadu cerita. Kantor ex-Reuni ini sudah digunakan sebagai kamar aktiviti mahasiswa senior yang dulunya merupakan bilik sekritariat MAPRAM (Majlis Ploncoan Mahasiswa). Sekarang masih digunakan oleh para senior itu antaranya Joko Setyohadi, Guntur, Soenarto, Soepono, Abadi, Yohannes, Handok0, Mukamil. Dan yang junior hanya kami, aku dan Jovita. Guntur paling rajin meledek kami , sekaligus mewancara yang berbagai-bagai sehingga keluarlah artikelnya di surat khabar Jogja tentang " Izan suka melukis " . Mereka juga sudah mengetahui, aku menyukai dan menulis puisi. Maka bermulalah sesi penerbitan jurnal puisi tulisan tangan yang menakjubkan. Hampir setiap malam kami harus menyiapkan tulisan berupa puisi, rencana pendek, komentar karya dan sketsa.Mereka pula sebagai penyunting akan menyiapkan juga tulisan masing-masing. Semua harus tulisan tangan. Bayangkan bagaimana 'cantik'nya kerja tangan pelukis ASRI. Memang ada yang menaip tetapi kabonnya sudah luntur dan hampir tidak dapat dibaca. Maka lebih artistik dengan tulisan tangan dan sketsa. Setiap malam kami dapat menyediakan 4-5 keping tulisan dan kami kumpul untuk bacaan bersama kalau kami datang berkumpul di situ...itulah jurnal kami ZAVITA (gabungan nama Zainon +Yovita) Grup.

Di hari lain, akan kami siapkan setiap projek lebih awal. Hari-hari sejarah sudah kami tanda
kalenda harian umpanya : 1) Pameran Sketsa Hari Kartini, April 2) Pameran Hari Kemerdekaan, Ogos ( 3) Pameran Hari Sumpah Pemuda, Oktober - biasanya pameran keliling . Semua dikelolakan oleh AJK senior dan baru di kampus. Di kantor ex- Reuni itulah menjadi saksi kami di jaga- kawal oleh ZAVITA GRUP.

Nama Nyoman sudah juga disebut tetapi mereka sang Raka Senior berpesan, " eh Nyoman banyak pacar lho.." Tiga bulan pertama aku selamat menolak undangan bermalam minggu dengannya. Siapa sangka selepas itu Nyoman dapat membuka jendela hariku atau bukankah kerana Made Wianta yang mengajakku ke Sanggar Saraswati untuk melihatnya menggamel gender dan saron di situ?

***

18 Ramadhan 1432/18 Ogos 2011

(Gambar 1: Bersama Nurma Tarigan dan Jovita, 1970)

(Gambafr 2: Persiapan acara persembahan Ratu Cantik sempena Hari Kartini, di Galeri Senisono , Aprill 1970)


Thursday 18 August 2011

SIRI 1-4

SILA ke http://kisahkisahdiindonesia.blogspot. com

5. KULIAH ASRI MELUKIS SAJA?

BILA aku memilih jurusan Seni Lukis di ASRI, teman-teman sepersekolahan dulu pun bersuara, " Jadi awak melukis sajalah di ASRI tu?". Ini belum lagi dengan sangkaan keluarga di kampung, " Bolehkah hidup dengan lukisan ? " Begitu juga bila tiba kunjungan Menteri Kebajikan, YB Tun Sri Fatimah juga bertanya , " Ha belajar Seni Rupa aa, yang make up itu ke? ". Tetapi aku lega bila YB Datuk Hussien Onn , Menteri Pelajaran yang mengunjungi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPMI) di Jogja bersuara , " Semua ilmu penting dalam kehidupan, belajarlah dan pulang kembangkan ilmu seni di tanah air". Kemudian muncul pula selepas itu Ismail Zain, Pengarah Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, menemuiku dengan pesan, " Bila selesai kuliah nanti, bolehlah cari pengalaman kerja di Jabatan Kebudayaan atau di Taman Budaya". Beberapa tahun kemudian muncul pula kunjungan penulis PENA, dan Usman Awang sendiri pun bersuara, " Menulislah hal-hal seni budaya pengalaman di Jogja atau kalau ada manusskrip puisi hantar cepat ke DBP, boleh dipertimbangkan untuk terbitan".


(Gambar 1: Melukis di Parang Tritis, Pantai Selatan Jogjakarta 1971) .



Istilah Seni Rupa sudah lama diguna pakai di Indonesia terutama dengan munculnya pendidikan seni, yang ditumpukan kepada jurusan Seni Lukis, Seni Grafik - Reklame, Seni Dekorasi, Seni Keria - Kerajinan dan Seni Patung sejak tahun 1950an. Sistem pendidikan seni ini juga agak berbeda dengan Institut Teknologi Bandung yang lebih memgutamakan sistem pendidikan teknologi. ASRI pula begitu ketara dengan unsur alami, sesuai dan latar Jogya itu sendiri, alon-alon klakon. Latar Jogjakarta yang kaya dnegan unsur seni warisan, kaya dengan sejarah lebih awal dengan kekayaaan budaya Jawa, terbukti dengan tinggalan sejarah itu sendiri. Kami diwajibkan mengenali alam semula jadi itu dengan kerja melakar (sketsa) bukan saja di dalam studio tetapi harus berada di bawah panas mentari dan redup, gerimis hujan. Kami di bawa oleh para senior, ke Pasar Sapi, ke Pasar Burung, hanya untuk mendekat jiwa dengan semangat suasana alami itu sendiri.

" Jadi asyik melukis sajalah " . Soalan ini tercatat dalam poskad sahabatku Zoy tiba dari Datuk Keramat. Agak tersentak juga aku dan aku segera memberi tahu, " Harus ikut kuliah wajib, Sejarah Budaya, Filsafat (Jawa , Islam termasuk Yunani dan Barat) , Kritikan Seni, Estetika dan agama juga...Teori wajib lulus...dan harus siapkan skripsi dan mempertahankannya di depan para pembimbing ".

Kuliah wajibpun harus berebutan waktu antara kerja teori dan amali dalam dan luar studio. Kelas teori wajib diikuti walau kerap diingkari mahasiswa yang menganggap masa bodoh semua teori itu. Itu omelan Nurman Tarigan yang kerap bolos kuliah. Atau Yuli mahasiswi Dekorasi, kerap saja mengikuti kerja amali kami hingga ke Kaliurang di kaki Merapi dan ke Parang Tritis. Mungkin sikap pembimbing - asisten dosen , Pak Nyoman Gunarsa yang keterlaluan agresif maka kamipun kelang kabut untuk selalu siap dengan lakaran sketsa. Jerkahnya , " Harus bawa 50 keping setiap minggu " . Kenapa tidak aku terkecoh harus bangun pagi untuk melakar di depan dan dalam pasar, berjalan kaki hingga ke Ngasem untuk mendapat suasana bingar di Pasar Burung. 50 keping sketsa seminggu atau 500 semester. Gilakah asisten ku atau aku salah dengar jumlah hitungan itu? Tetapi arahan itu harus kami patuhi, tambahan pula beliau kerap mengatur perjalanan ke gunung dan ke pantai, dengan membawa kami menaiki truk (lori ) ke sana. Aku dan Jovita lah amat terkecoh. Kami lah awal pagi sudah duduk di pasar, di depan tugu Malioboro, di alun-alun agung !

Kerana itu juga, aku kerap mengambil peluang untuk memulakan kerja luar, melakar ke mana saja dan bila ada peluang berangkat untuk ke luar Jogja. Hingga ke Prambanan dan Borobudur . Hujung tahun pertama aku sudah tiba di Surabaya sebelum meloncat ke Bali hanya untuk menyiap tugasan.

(Gambar 2. Disember memasuki semester 11 aku sudah tiba melakar bersama mahasiswa Akademi Seni Surabaya, Disember 1970).


***


SZI, 18 Ogos 2011

Tuesday 16 August 2011

KISAH AWAL : KERANA W.S. RENDRA DAN AFFANDI



ENTAH Bagaimana kumpulan puisi W.S. Rendra, Kakawin Kawin boleh berada dalam himpunan rumah kami si Sentul. Mungkinkah hadiah daripada uncle Na Achnas, seorang pelukis grafik kelahiran Payokumboh yang kerap ditugaskan melukis ilustrasi buku terbitan Pustaka Antara . Mungkin juga buku ini dibawa oleh Bung Abdulllah Hussein (SN Datuk ) yang sudah beberapa kali muncul dai rumah berbicara panjang dengan ayah Wan Chik.

Gambar 1: Pertemuan kembali dengan guruku Haji Idris Salam (allahyarham) dalam pameran Bunga-bunga Bulan di BSLN, 1990.

Ya, aku sudahpun mempunyai nama samaran Zaindra Kelana. Nama ini kerap pula disebut oleh guru seni lukisku Haji Idris Salam. Setiap kali beliau memanggilku untuk ke Kelab Seni Lukis Sekolah Aminudin Baki (SAB) , selalu berpesan kepada siapa saja, " Eh, panggil Zaindra Kelana, ada pameran di MAHA ". Ini sudah terjadi sejak tahun 1966 menjelang berakhirnya kelas tingkatan V. Nama ini tetap kurahsiakan maknanya. Tidak seorang pun tahu, kerana nama Rendra belum pernah disebut dalam kelas bahasa Melayu . Ketika itu kami diharuskan memamahi puisi " Bunga Popi" Usman Awang ataupun membalik halaman buku Suasana. Kala itu memang memang aku tidak dapat mengikuti puisi Masuri SN. Menghafal puisi Pungguk juga satu siksaan. Cara mengajar, memahami, memprosakan puisi sungguh menjengkelkan. Guruku Robiah Sidin (sekarang mantan Prof. UKM) begitu lembut dan pemalu. Cikgu Hussien Mahmud mengajar bahas Melayu dan cebisan sastera di tingkatan VI. Juga kurang menimbul minatku untuk serius di kelas itu. Aku masih juga kaku menikmati puisi-puisi wajib tingkatan V-VI . Mujur melalui Kelab Bahasa Melayu aku turut melibatkan diri sebagai AJK Buletin sehingga sajak awalku dapat muncul di situ. Tetapi kenapa ada gerah lain pula yang muncul dan anehnya begitu menyenangkan, bila aku membuka halaman buku Kakawin Kawin dan Romansa dalam Empat Kumpulan Sajak yang terbit tahun 1961. Buku ini sudah lama lusuh di tangan. Tetapi siapa W.S. Rendra? Tidak ada rujukan lain ketika itu. Tidak juga kutemui judul lain di perpustakaan sekolah . Dengan siapa pula harus kubawa hati dengan keinginan tahu mencari penyair yng menulis " Surat Cinta " . Kukutip bait demi bait, malah bagai dapat menatap wajah 'dik Narti' (itulah orang yang kucari pda awal 1970an di Ketamanggunan kemudiannya). Sungguh dalam usia menjelang 17 tahun, aku belum lagi menatap wajah penyair ini. Namun suara puisinya sungguh bergetar yang kerap menggelinding , mengganggu tidur malamku, bagaimana tidak, dengan ungkapan,

Kutulis surat ini
kala hujan gerimis
bagai bunyi tambur bermainan
anaj-anaj peri dunia yang ghaib.
Dan angin mendesah
wahai dik Narti
aku cinta kepadamu !...

KEMUDIAN ku mula menyedari, akulah yang mengutip larik-larik ayat puisi W.S. Rendra. Sehingga puisi awalku memang terpengaruh dengan bait puisi penyair ningrat dari kraton Solo. Perkataan dalam puisinya kerap kuberi tanda garis ' gerimis, angin mendesah'. Masyaallah. Namun cepat kusedari, perkataan itu juga berbentuk universal - milik sejagat. Dengan berani akupun muka mencatat, menyalin apa saja yang terlintas di kepala dan terasa di hati. Tetapi kenapa aku juga mula membayangkan wajah' Dik Narti' penyair itu. Lebih berani, kenapa hatiku berkata, bukankah akulah 'Dik Narti?', yang mempunyai seorang kekasih yang memanjainya...Cepat ku insafi, memang aku ingin juga seperti mereka mempunyi kekasih yang menyayangi, tetapi, ah puisi dan seni, sehingga kawan-kawanku kerap melihat aku begitu aneh, suka berjalan sendiri, suka berdiri di belakang tiang bangunan , membaca atau mencatat tanpa memperduli tugas sebagai pengawas yang seharusnya menahan murid-murid 'nakal' kerana lambat sampai ke sekolah, dan pintu pagar sudah ditutup. Zoy sudah 'berdua' dengan Hanif, Leha berpasangan dengan Fahmi dan Alia dengan Amer. Di tingkatan VI, mereka masih kekal akrab sehinggalah Leha harus meninggalkan tingkatan V dan Fahmi tentu merasa kehilangan. Suasana menunggal berlanjutan ke tingkatan VI, tambahan kebanyakan kawan lelaki yang baru datang dari sekolah luar, makin sukar didekati, atau aku yang tidak mahu di dekati. Cuma Ghani dan Khozin, yang selalu tersenyum dan Ghani yang kerap mengekoriku dengan Zainon J untuk meredah rimba Gombak hingga ke Paya Jaras di Kuang. Yang lain-lain memang tidak ada kepedulian dengan keasyikanku di Kelab Seni lukis. Kecuali Mariam Sanariah dan Zahari Ghani yang sesekali sudi mengekoriku ke Galeri Samad. Di hari tua baru ku ketahui bila kami bertemu di acara reunion mereka memberi komentar ," Kami malulah berbaik dengan mu , anak kota..kamikan orang kampung" Ha?" . Barangkali itulah kewajaranku harus berbaik dengan puisi - larik keramat W.S Rendra, sedangkan di kelas bahasa Melayu, kami tidakpun didedahkan dengan puisi Kekawin Kawin itu.

Puisi W.S. Rendra itu amat mudah dihayati kerana penuh warna lukisan realis. Dia membawaku menengadah ke atas melihat 'langit menangis'. Dia juga mengeretku ke kolam, ada belibis mengibas ekor, melukis puteri duyung..dan angin mendesah ' terus bernyanyi. Aku telah masuk ke taman impian ciptaan penyair itu. Tetapi kepada siapa harus kuceritakan penemuan puisi W.S Rendra. Tidak ada sesiapa kecuali aku harus mencari sendiri penyair itu. Di mana ? Ya carilah ke Jogja! Bisik hati.

***

Tahun 1967 juga , nama Affandi muncul daripada bibir guruku Nas Achnaz. Ucap guruku ini,
" Nah, ini ada gambar lukisan Affandi, ini aliran realisme, judulnya 'Ibuku' . Dia juga terlibat dengan penubuhan ASRI " (Akademi Seni Rupa Indonesia , sekarang ISI -Institut Seni Indonesia )

Dua nama baru muncul, Affandi dan ASRI . Kutatap gambar lukisan 'Ibuku'. Sungguh berwajah sendu, perempuan bermuka bundar, penuh kedutan di dahi, di leher, jari yang merapat ke dada bagai mengusik hibaku. Oh sungguhkah sengsara kehidupan di hari tua?

***

Tahun 1968 itu sudah dua tahun aku berulang alik ke Galeri Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru. Ruang di tingkat dua bangunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KGMS) menjadi tempat kami berlatih, belajar melukis alam benda, dan potret. Di situlah guru kami yang sama di SAB melapang waktunya berkumpul di GAPS. Sesekai muncul Hussien Enas ( pelukis potret terkenal sejak tahun 1950an , berasal dari Bandung), Sabtu Yusuf, Shamsudin Mansur, Mazli Som, Wahid dan kami angkatan pelajar yang meminati seni lukis. Guru Haji Idris Salam juga sesekali membawa pelukis yang baru pulang dari luar negera seperti Khalil Ibrahim dan muncul juga Latiff Mohidin. Tetapi aku masih dengan caraku sendiri, suka bersendirian, tanpa banyak mengoceh dengan pelajar lelaki lain. Kawanku masih Mariam kawan sekelas di SAB yang kerap menjadi sahabat seni lukisku yang setia sehinggalah aku memilih kursus seni dia sebaliknya meneruskan kuliah di Fakulti Sastera Universiti Malaya yang tidak menawar jurusan Seni Lukis. Kami akhirnya berperisah kerana sampai akhir aku tidak pernah mengisi borang untuk meneruskan kuliah di tanah air, sebaliknya sibuk turun naik di Galeri APS mahupun ke Studio IBHAS di Pasar Minggu Kampung Baru.

Akhirnya aku tahu, aku tetap bersendirian melukis di rumah Sentul. Bung Dolah masih berulang alik ke rumah membawa buku-buku bacaan terutama novel dan puisi dari Indonesia. Buku HAMKA, Mochtar Lubis, Marah Rusli sudah menumpuk di meja tulis ayah Wan Chik. Muncul juga uncle Nas Achnaz melihat karya-karya lukisan batik dan pastel. Beliau tersenyum dan setengah jenaka dia bersuara kepada emak dan ayah Wan Chik, " Izan harus cepat buat pameran...dapatkan wang dan hantar belajar ke Indonesia " - Ya Rabbi, bukankah ini impianku? Beliaulah akhirnya mengatur pameran solongku di SHAH Motel, Petaling Jaya sempena perasmian motel tersebut pada Februari 1969. Seminggu sebelum pameran, atas usahanya, berdatangan wartawan Berita Harian, Utusan Melayu dan the Strait Times membuat temu ramah. Sehingga di surat khabar itulah beritaku ' Zainon ingin menjadi pensyarah Seni ' di halaman depan BH dan UM.

Nama Zaindra Kelana masih kuheret dalam nota kecil, catatan puisi dan surat-surat persahabatan baru - aku tidak mahu orang tahu siapakah Zaindra yang sudah rajin menulis puisi! Zaindra ? Rendra ?

Ya kerana puisi W.S. Rendra dan ' Ibuku' lukisan Affandi aku tiba di Jogja, Oktober 1969. Seterusnya bergabung di halaman rumah Rendra dan melihat Narti dalam latihan Mastodon dan Burung Condor sehingga Rendra sendiri datang mengajar di ASRI , segalnya masih rahsia. Aku membawa namanya ke mana-mana sejak dulu. Biarlah Latiff Mohidin ke Jerman, dia telah dulu ke sini, biar diriku mendahulu pula ke Jogja. Benar. Selepas tanggal 26 Oktober 1969, sesungguhnya aku sudahpun menempati rumah juga Sanggar Seni di Karangwuni, rumah puteri Affandi dan seterusnya aku kerap menemani (menonton) Affandi melukis di 'Rumah Daun'nya di Jalan Solo

***
Sesungguhnya kerana " Surat Cinta" W.S Rendra dan " Ibuku" Affandi yang menyeruku untuk tiba di rumah baru di Lembah Merapi! Selepas itulah aku selalu terhibur dengan deru kuda di pacu, bermain gerimis di puncak Prambanan, mendengar desah pasir Parang Tritis, bersama menguak di Pasar Sapi, menggelinding ke pasar burung di Ngasem, meredah ke sumur Taman Sari, belajar serimpi yang tidak pernah menjadi di Sanggar Bagung Kusdihardjo, terpegun dengan denting sarong dan sayup jauh meresap suara pesinden di kraton alun-alun Lor!

Ya, ku tinggalkan suara serak basah Firdaus Abdullah di Kampung Limau yang memukau dara-dara Gabungan Pelajar Melayu Semenanjug (GPMS), jeling Atondra yang mula mengusik sepupuku Aino, kuucap selamat tinggal Lili pelajar seni lukis ITM di Kuang, Bakri yang menolak sikapku yang kononya aku meniru gaya seniman Pago-Pago Latiff Mohidin , ya biarkan aku sendirian pergi ke Lembah Merapi. Biar kuhirup lagu seruni jauh di rantau orang. Siapakah yang datang menghulur tangan persahabatan selepas itu, kalau bukan Umbu Landung Paringgi, Linus Suryadi AG, Emha Ainul Najib, kala aku mencelah berbondong membuntuti Persada Grup tanpa mereka sedari? Dan di Sanggar Putih milik Amri Yahya kuikuti dongeng Pak Umar Khayam. Ya itulah Siti @ Zaindra Kelana berasal dari bumi Gombak terus menelurusi bumi lain hanya untuk menjejaki Seruni Merapi.

***

3 Disember 2003