Sungguhlah wang punca rezeki. Wang juga punca pertelagahan keluarga. Entah angkara siapa wang grantduty Abah menjadi rebutan. Adik-adik Abah turut menuntut wang tersebut hingga tergamak mengatakan Abahku, Ismail tidak meninggalkan waris. Surat tuntutan tiba di mahkamah tuntutan harta di Kuala Lumpur dan satu surat salinan tiba ke pejabat Abah. Kebetulan Ketua Pengarah Jabatan Bengkel KTM Sentul masih teringat, beliau bernah mengeluarkan surat sah sijil kelahiranku ketika akan berangkat ke Jogja. Beliau sendiri memberi cop rasmi pengesahan, dan masih ingat, pekerjanya mempunyai seorang anak yang sedang belajar di Indonesia. Aku pulang dengan surat dari mahkamah dan kami bertemu di ruang keramat itu. Kulihat wajah dua orang bapa saudaraku.Sungguh tega mereka mengaku abangnya tidak ada waris. Mahkamah bersidang untuk aku mengangkat sumpah, mengaku aku adalah puteri tunggal Ismail bin Talib.
Mataku berkunang-kunang melihat gelagat manusia yang ghairah terhadap wang pusaka. Tetapi aku simpati juga kepada mereka yang pasti terdesak dan berhak mendapat wang abang mereka. Dengan rela aku segera memberi dengan suka rela...mengambil hanya 50 % wang tinggalan Abah. Biarlah 50% itu diserahkan kepada keluarga di kampung, kerana selama ini memang mereka menguruskan kebun pusaka nenekku. Aku melangkah pulang tanpa peduli wajah mereka yang terpinga-pinga kerana aku tidak menuntut balik kelakuan mereka yang sanggup menidakkan aku waris tunggal abang mereka. Aku pelukis dengan kerja mewarna kanvas. Mereka adalah pengguris, mengguris hatiku luka. Biarlah.
Tugas pelukis tiba-tiba datang dengan mengejut. Angkatan Pelukis Malaysia mengundang aku membuat pameran tunggal di British Council. Sekali ini duniaku semakin berwarna. Selama sebulan bercuti kugunakan untuk melukis dengan gembira . Hussein Enas, Syed Ahmad Jamal, telah datang melihat karyaku di pondok kecil kami di Batu 5 Jalan Gombak, gembira dengan lukisanku yang bergaya Ekspresionis warna meledak panas hasil karya seorang anak muda berusia 22 tahun. Tanpa sokongan APS, mungkin aku tidak akan menjadi seperti hari ini . Pameran ini dirasmikan oleh Senator Kamarul Ariffin. Maka sibuklah kawan-kawan persekolahan yang masih kuliah di UM, di ITM berdatangan dan mula percaya bahawa pelukis ada harapan di masa depan. Insyaallah.
21 Ramadhan 1432/21 Ogos 2011
*****
(gambar 1: Pameran dirasmikan oleh Senator Kamarul Ariffin , sekarang Tan Sri, 1972)
(gambar 2 : Pameran bersama di Madiun, 1971)
(gambar 3: Pameran bersama di Senisono, 1970)
No comments:
Post a Comment