Monday 5 September 2011

14. SANGGAR PUTIH PENAJA PAMERAN

   Melakar di Gembiraloka dengan teman-teman senior ,
 Wardoyo, Enderin, Giono

JURUSAN Seni Lukis ASRI memang kerap riuh dengan kerja amali di luar studio. Kebetulan yang dapat terus naik ke tahun ke dua tinggal beberapa orang saja perempuan. Beberapa orang entah kemana menghilang. Yovita juga tiba-tiba tidak muncul. Nurma Tarigan kadang ada kadang hilang. Aku terus seperti biasa kerap keluar melakar. Anehnya setiap melakar di Malioboro, ke Gembiraloka selalu saja muncul teman-teman lebih senior..dan kami selalu bergabung, dan aku tidak peduli meneruskan kerja seni. Memang ada yang cuba mendekati, tetapi kerana aku sibuk melakar dan beralih tempat, mereka tidak sanggup mengekoriku lagi...akhirnya aku sendiri lagi.

Patung wayang kulit Jawa koleksi Galeri Melora, 1972

Paling bebas dan tenang melukis ialah bila melangkah ke muzium dengan koleksi wayang kulit.  Wayang kulit Jawa yang jauh berbeza dnegan wayang kulit Melayu Kelantan dengan mudah dapat kudekati. Watak Bagong dan Semar paling kuminati. Teknik menggaris bebas lincah sudah kupelajari dari Nyoman. Tetapi supaya tidak terikat dengan gaya garis ekspresifnya aku mula menumpah tinta hitam bertompok ke atas kertas, lalu melariknya dengan    lincah menggunakan batang lidi. Tinta mengalir ke bawah.  Percubaan kebetulan terjadi ketika aku melukis di bawah gerimis, dan tinta jatuh di atas kertas. Percikan gemiris cepat mengalirkan tinta dan airnya begitu aneh dan terkesan dengan bentuk bebas. Akhirnya garisku sudah berwarna dengan tiga lapisan tona yang bebas, garis, ruang hitam cair dan hitam pekat.  

 Bagong-Semar, Cat Minyak, 45 x 45 cm

Selesai ujian akhir, dan viva skripsi aku meluru keluar cepat dari  ruang ujian lisan. Aku tidak sanggup menunggu keputusan, lulus atau tidak . Aku ngeri kalau keputusan  membawa takdir  malang. Seseorang mengejarku dari belakang, Kutoleh  selintas, rupanya Ibu sekretaris penata Ujian Sarjana. "  Hei mbak Jenon kok buru-buru, kau lulus terpuji...skripsimu  bagus dan cara kau mempertahan idea ekspresioisme, Pak Fajar senang !  Ayuh kapan pameran? " Ayat terakhir itu membuat aku tersentak dua kali. Sebelum ujian lisan - viva mempertahankan skripsi, memang setiap calon sarjana wajib membuat pameran. Pameran karya ini akan dinilai untuk dianalisis sama ada dapat masuk ujian viva atau tidak...sekarang Ibu Skretaris bertanya ' Kapan Pameran? Kenapa tidak.
Aku seakan terkulai di bawah pohon rendang menghadap ke Sanggar Putih, milik pelukis Amri Yahya. Amri Yahya...ya aku harus berjumpa beliau dan menghkhabarkan aku sudah lulus dan boleh membuat pameran solo!

Datuk Arshad Ayub , rombongan MARA  dan Kementerian
Pendidikan turut hadhir melihat pameran lukisanku
 di Galeri Senisono, Feb 1974

Atas sokongan Pak Amri Yahya (Almrhum) , agak sukar kupercayai  atas kesudian beliau menaja pameranku:  mencetak katelog, sewa dewan pameran dan jamuan . Sampai sekarang masih belum kutemui jawabannya. Beliau hanya bersuara, ' Ya udah siapkan  lukisan, bawa ke galeri beres...nanti kita cetak kalelog pameran, undang anak-anak Malasyia  biar rame..."  Mungkinkah kerana aku yang setia berulang alik masuk ke galeri beliau atau kerap datang memenuhi acara ceramah seni di Sanggar Putihnya sehingga beliau dapat  menilai kecenderungan  dan keseriusan anak muda ini. Inilah pameran solo ku yang ke tiga setelah pameran di Shah Motel (1969), dan di British Counsil (1972) anjuran APS.  Mungkinkah akan bersambut pula pameran di Jakarta. Mana tahu Kedutaan Malaysia sudi menaja pameran ku di Taman Ismail Marzuki?

Buat Pak Amri Yahya, semoga ruhmu  beliau diberi cahaya lindungan  kasih Ilahi sesuai dengan amalam seni mu  yang Islamis. Al Fateha. Amin

Subuh Bangi
6 September 2011/ Ramadhan 1432


No comments:

Post a Comment